Ya ALLAH sesungguhnya jalan mujahadah ini cukup sukar buatku. Jalan ini yang aku pilih terasa sangat sunyi walau ada keluarga dan teman menemani. Ya jalan ini yang aku perlu tempuhi. Tidak akan ada yang memahami melainkan bagi mereka yang pernah melalui jalan ini. Ya ALLAH, jadikan aku manusia yang terus asa, setiap kali malah beribu kali aku tersadung dan jatuh, ada upaya untuk aku bangun dan teruskan berjalan lagi.
Ya ALLAH, fizikalnya aku lemah, namun KAU kuatkan mental dan rohaniku agar aku teguh tak menyerah.
Pasakkan jati diriku agar tahu dan sedar bahawa aku ada kekuatan diri. Kuatkan diri ini agar aku mampu menciptakan nilai buat diri. Beri aku kekuatan untuk keluar dari utopia yang tak menyumbang, malah menumbang.
Ya ALLAH, Ini ketika paling sukar buatku seumur hayat. Namun ini mungkin permulaan kepada ujian kesukaran yang akan KAU kurniakan kepadaku. Ujian yang diberikan tidak melampaui kemampuan diriku. Selari dengan tingkat demi tingkat keupayaan diri. Engkau Maha Baik Ya ALLAH. Walau sekerap mana aku berpaling pergi, namun ENGKAU satu-satunya yang tak pernah berpaling pergi dariku. Sentiasa ada dan terus memberi nikmatMU yang tak putus-putus. Aku kira ujian ini untuk selalu membawa diriku yang hanyut lalai untuk sentiasa kembali padaMU. Tanpa kusedar, KAU sedang menjawab doa-doaku dengan cara yang terbaik buatku.
Ya ALLAH, ku mohon walau sejauh mana aku pergi, walau sehebat mana aku tersasar, izinkan aku kembali kepadaMU dalam keadaan ENGKAU benar-benar redha padaku. Izinkan aku kembali dalam fitrah yang suci bersih. Izinkan aku kembali dalam taubat. Aku mohon Ya ALLAH semoga wujudku di dunia bukan sia-sia.
No comments:
Post a Comment