Wednesday, November 8, 2017

Mencari KESUNGGUHAN yang Hilang

Ya ALLAH, saya belajar sesuatu yang amat berharga daripada Isaac & Esther hari ini. Tentang KESUNGGUHAN. Mereka suami isteri datang jauh daripada Nigeria ke Malaysia, bersama seorang anak kecil. Belum pun 6 bulan di sini, mereka telah ada pencapaian yang bagus. Saya gembira untuk mereka dan bersyukur mengenali mereka. Isaac selepas 2 bulan di USM menyertai 3MT untuk kolokium tahunan kami dan mendapat tempat kedua. Ester belum pun 6 bulan telah menang tempat pertama kuiz bahasa Malaysia. Setiap hari pada pukul 8, mereka telah berada di USM. Pulangnya lewat petang atau malam. Setiap hari fokus dengan 'research', jarang saya nampak mereka duduk bersuka-suka. Saya bandingkan sikap saya dengan mereka. Saya sedar betapa 'manja' nya saya. Selalu mencari-cari alasan untuk tidak berbuat sesuatu. Kurang fokus dan disiplin diri.

Saya teringat waktu saya masih di sekolah rendah dan menengah rendah. Betapa bersungguh-sungguhnya saya belajar atau berbuat sesuatu. Saya teringat masa tersebut bila saya baca buku Tere Liye, Daun yang Jatuh Tak Pernah Membenci Angin. Bagaimana Tania belajar bersungguh-bersungguh di samping bekerja dalam umur yang sangat muda. Lepas satu, satu kejayaan datang. Dia tak pernah berhenti berusaha. Tak kenal lelah. Sedangkan saya? Sikit-sikit rehat, sikit-sikit penat, sikit-sikit stres. Selepas kejayaan cemerlang di Tingkatan 3, saya mula lalai, hanyut. Saya malu jika saya dilihat terlalu bersungguh-sungguh, takut dikata tidak 'cool'. Dangkalnya fikiran saya. Saya dijajah. Terjajah pemikiran. Selepas dijajah sebegitu lama, saya seolah diketuk dan terjaga dari mimpi. Saya teringat dahulu saya sanggup berjaga malam belajar ditemani emak yang tidur di sisi. Saya teringat KESUNGGUHAN saya dulu. Saya rindu KESUNGGUHAN itu. Saya dambakan KESUNGGUHAN itu. Saya mahu ia kembali.

Ya ALLAH bantu saya. Saya kangen KESUNGGUHAN saya.

Wednesday, November 1, 2017

Ujian Kesakitan

Ya ALLAH, tabahkan saya. Sepanjang perjalanan PhD saya diuji dengan ujian kesihatan, luar dari kebiasaan. Awal pengajian saya diserang kayap dan istihadoh. Seterusnya jangkitan pundi kencing dan keguguran rambut yang kronik. Demam saya juga luar biasa, terlantar 2 minggu dengan demam campak, dan demam biasa (yang ini tidak pasti). Selain kesihatan diri, saya juga diuji kesihatan ibu bapa dan ahli keluarga. Saya bersyukur didatangi ujian-ujian ini. Buat saya lebih hargai nikmat sihat.

Bulan yang Berlalu

Baru sekarang teringat dan ada semangat untuk kemaskini 'rumah' ini. Mei, Jun & Julai saya agak kurang produktif dan banyak habiskan masa di Alor Setar. Motivasi saya menurun, saya berteka teki sendiri apa puncanya. Besar barangkali saya perlu "Sharpen the Saw". Saya mengalami sindrom "burnout". Tambahan ada beberapa perkara berlaku yang saya mahu pahatkan di sini, antaranya;

1. Penghujung Mei, saya mendapat berita perlu mengosongkan rumah sewa, kerana tuan rumah baru mahu mendudukinya. Saya tidak mengambil itu serius kerana tidak diberitahu sendiri tuan rumah dan ejennya. Awal Jun bermulanya Ramadan. Perkara menjadi semakin serius dan kelihatannya saya perlu segera mencari tempat tinggal baru selepas menerima perkabaran tuan rumah mahu kami keluar pada pertengahan Ogos. Saya dan teman serumah sepakat untuk tinggal sehingga penghujung Julai. 14 Jun saya ke pejabat penginapan USM, memohon bilik bujang di Rumah Antarabangsa. Tepat 3 bulan menunggu, 14 September saya mendapat jawapan selepas datang sendiri ke pejabat penginapan dan menjual cerita sedih.Selama hampir 2 bulan saya datang lebih kurang seminggu sekali ke USM untuk perbincangan berkumpulan dengan penyelia. Jiran bilik maklumkan, bilik saya ini kosongnya dah lama, tak pasti berapa lamanya. Persoalannya, mengapa tidak diberi isi kepada yang memohon.

2. 6 Julai adalah raya puasa. Dua hari selepas raya, abah menerima perkabaran gembira. Permohonan menunaikan haji diluluskan, namun hanya abah seorang. Lalu rayuan mahram dibuat untuk saya dan mak, namun hanya permohonan mak sahaja berjaya. Bulan ini saya turut sama sibuk dengan persiapan haji. Disebabkan jawapan permohonan mak 2 minggu selepas abah, banyak urusan dibuat 2 kali; paspot, pemeriksaan kesihatan, urusan di pejabat haji dan membeli kelengkapan. Ada barang yang dipesan atas talian tiba selepas mak dan abah berangkat. Walaupun pada mulanya hanya abah yang dapat tawaran,tapi saya dan mak turut sama sertai Kursus Haji Perdana Negeri Kedah. Seronok!

3. 16 Ogos mak dan abah berangkat pukul 3 pagi. Seminggu sebelumnya telah diadakan kenduri tahlil dan doa selamat. Sedih sebab masa kami adik beradik tiba, mak dan abah telah masuk ruang berlepas. Cari jalan juga untuk lihat keberangkatan dari dekat, maka kami ikut jalan belakang. Lucu bila diingat balik. Sepanjang ketiadaan mak dan abah, banyak ujian untuk kami adik beradik. Ujian dengan adik bongsu, hilang barang, kemalangan kereta dan beberapa lagi. Hampir saja saya tidak menyentuh kerja PhD saya. Sehinggalah mak dan abah kembali ke Malaysia 30 september, pkl 6.05 pagi. Lega dan sayu dapat lihat wajah-wajah kesayangan saya. Hari itu ramai saudara berkumpul meraikan, maka hari itu saya belum berkesempatan melepas rindu sepenuhnya.

4. Semasa ketiadaan mak abah, 18 September saya kemalangan semasa hendak menghantar adik ke Balik Pulau, dan pada hari itu juga saya ingin daftar masuk asrama. Kemalangan di Teluk Kumbar. Kereta Hilux langgar belakang kereta. Kesian adik saya sedang tidur waktu kejadian. Sehingga kini, saya masih belum dapat balik kereta kerana ada kerosakan tambahan yang baru dikesan. Saya tak sempat daftar masuk asrama walaupun adik pinjam kereta Angah untuk hantar saya kerana pejabat bendahari tutup pukul 4 petang. Maka malam itu, saya tumpang tidur di rumah keluarga mertua Angah. Esoknya Angah yang menghantar saya dengan anak saudara comel saya, Harraz dan Haris. Saya ajak mereka ke pejabat dan masuk kawasan asrama. Harraz sangat bertimbang rasa, dibawanya banyak barang saya walau baru 5 tahun. Seronok saya lihat wajah gembira dan teruja bila saya ajak dia dan adiknya ikut saya. Alhamdulillah, kemalangan ini membuat saya sedar, saya disayangi dan keluarga mengambil berat, terutamanya adik-adik. Jiran saya juga baik-baik dan mengambil berat terutama Cik Nor dan suami. Wan adik saya juga sudi pinjamkan kereta MyVi merah mereka untuk saya guna.

5. Saya diuji demam berterusan lebih kurang 2 minggu. Saya banyak berbaring dan badan lemah tak lalu makan. Bermula sakit dengan sakit kerongkong, lalu melarat ke demam. Adik saya didiagnos demam denggi, tapi saya sendiri tidak buat ujian darah. Saya usahakan minum banyak air dan air 100 Plus. Masa pengajian ini, saya memang diuji sakit. Sebelumnya demam campak hingga kena masuk air. Saya juga kerap kena istihadoh, dari dua minggu hingga sebulan lebih. Syukur sekarang saya sembuh dan lebih bertenaga.

6. Minggu lepas kereta MyVi merah kena 'clamp'. Maksudnya sudah 4 kali kereta kena kunci di USM. Kali pertama lepas sebab saya masih baru. Kali kedua saya parking di Bio dan ketiga diluar petak. Keduanya kena denda. Kali keempat di kawasan asrama. Sama seperti kali pertama, saya bersyukur saya tiba masa pegawai trafik masih di situ. Saya terangkan keadaan dan mereka yang baik hati lepaskan. Saya doakan kebaikan buat mereka yang baik hati itu. Pada hari yang sama saya terus mohon pas paking sementara. Dapat pas istimewa pula.

7. Sekarang tengah berlangsung konvokesyen ke 55 USM. Mestilah ada pesta. Saya suka sebab banyak makanan yang jarang dapat dijual di situ. Kawasan pusat pengajian saya meriah sangat. Saya berdoa agar saya juga dapat bergraduat dalam tempoh terdekat.

Syukur kini semangat saya telah kembali. Ramai pelajar PhD mendaftar dan kami kini seramai 8 orang. Semangat saya membara kembali kerana mereka. Saya doa diberi kekuatan untuk meneruskan perjuangan dan untuk saya murnikan niat belajar. Semoga saya istiqamah, terus berdisiplin dan dikurniakan keberkatan waktu. Aamiin.

Ini saja buat masa ini. Jika diizin ALLAH untuk saya ingat, saya akan kemaskini penulisan ini.