Saya telah membeli dan membaca buku tulisan Dr Murni bertajuk Leaving One Dream to Achieve Another. Ada beberapa kisah yang saya rasa amat dekat dengan saya. Salah satunya perjuangan mendapatkan tempat untuk melanjutkan PhD dengan biasiswa di luar negara. Saya boleh menjiwai perasaan beliau dalam perjuangan tersebut memandangkan itu juga perjuangan yang saya lalui kerana itu impian kami sejak zaman persekolahan.
Namun Allah ada perancangan yang Maha Hebat. Kini saya nampak satu persatu HIKMAH Allah izinkan saya menuntut ilmu di Malaysia. Allah lebih tahu takat kemampuan saya. Saya bersyukur boleh balik dan menatap wajah kedua ibu bapa hampir setiap minggu, lalu semua perkara yang memberati saya hilang. Saya bersyukur boleh menghadiri setiap majlis keluarga, boleh bisa berjumpa setiap kali pertemuan keluarga.
Saya tidak punya teman rapat di universiti, makanya keluarga adalah teman paling akrab saya. Mereka adalah tempat saya beri dan sandarkan segalanya selepas Allah s.w.t. Saya bersyukur tentang itu kerana dapat mengutamakan apa yang utama. Mereka sumber kekuatan saya untuk teruskan perjuangan saya dalam jalan yang telah saya pilih.
UJIAN adalah ruji saya sepanjang pengajian PhD. Terus terang saya merasakan tidak pernah diuji sehebat ini sepanjang Allah izinkan saya bernafas di muka bumi ini. Ada ketikanya saya seolah berada di titik paling bawah dalam hidup saya. Saya menangis dan menangis. Namun saya bersyukur kerna di kebanyakan waktu, ujian ini menjadikan saya manusia dan hamba yang lebih baik. Saya bersyukur Allah izinkan saya melihat HIKMAH. Saya bersyukur Allah jadikan saya lebih kuat dan seorang hamba yang lebih Percaya. Surah 93 & 94 Al Quran saya pegang erat-erat. Itu penawar saya tika berduka.
Saya bersyukur Ya ALLAH, saya menjadi hambaMU yang YAKIN, yakin seyakin-yakinnya.
31 Januari 2018, 2.30 petang.
No comments:
Post a Comment